Penduduk Kampung Durian Daun dikejutkan dengan penemuan objek mencurigakan yang dibalut dengan kain batik biru, menyerupai mayat kanak-kanak, pada malam Ahad.

Bagaimanapun, setelah pihak polis tiba dan membuka bungkusan tersebut, ia hanya mengandungi ikatan daun semambu yang diletakkan di tepi jalan berhampiran taman permainan kampung berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, berkongsi kejadian itu di media sosialnya, menyatakan bahawa beliau menerima aduan ketika berada di program tadarus Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka.

“Tak ke berderau darah ko (kau). Mat hanya mampu cakap, tunggu Polis Melaka jer lah. Jangan memandai,” tulisnya.

Beliau turut berseloroh bahawa nasib baik dirinya tidak terus ke lokasi, jika tidak, hanya ‘tertipu’ dengan daun semambu. “Kalau bergegas pergi, pahala tengok tadarus tak dapat, kena akal dengan daun semambu yang dapat. Betul-betul jadi waibee (YB) pandir,” katanya.

Insiden ini mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ramai yang terhibur tetapi juga tertanya-tanya mengapa bungkusan tersebut diletakkan dalam keadaan yang mencurigakan. Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat.