KUALA LUMPUR – Seramai 15 lelaki warga Bangladesh ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, selepas cuba memasuki Malaysia dengan menyamar sebagai pemain kriket.
Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan tersebut berpakaian lengkap seperti pasukan kriket dan mengemukakan surat penganjuran kejohanan sebagai dokumen sokongan.

Bagaimanapun, siasatan mendapati bahawa surat yang kononnya dikeluarkan oleh Persatuan Kriket Pulau Pinang adalah palsu. Tambahan pula, tiada kejohanan kriket dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 23 Mac 2025, seperti yang dinyatakan dalam dokumen tersebut.
Lebih mencurigakan, kumpulan ini turut cuba mendapatkan seorang penaja sebagai penjamin. Namun, individu yang hadir sebagai ‘penjamin’ mengakui bahawa dia tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kejohanan itu dan hanya bertindak sebagai wakil syarikat.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada bukti kukuh bahawa mereka adalah pemain kriket sebenar. Pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan bahawa mereka merupakan sebahagian daripada sindiket yang menggunakan penyamaran sukan untuk memasuki Malaysia atas tujuan lain,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, AKPS mengambil keputusan untuk tidak membenarkan kumpulan tersebut mendarat (Not-To-Land, NTL), dan tindakan selanjutnya akan diambil mengikut peraturan imigresen yang berkuat kuasa.
— Sumber: Agensi