MEMBAKUT – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemui tidak bernyawa dalam keadaan tergantung di dalam sebuah bilik di gelanggang futsal milik keluarganya, malam tadi.

Mangsa ditemui oleh bapanya kira-kira jam 9.30 malam, dengan tali nilon terikat pada tiang besi di dalam bilik tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng, kehilangan remaja itu disedari selepas ahli keluarganya pulang dari gereja dan mendapati dia tidak berada di rumah selama hampir dua jam.

“Bapa mangsa kemudian mencari di sebuah bilik pejabat yang terkunci dalam gelanggang futsal sebelum menemui anaknya dalam keadaan tergantung,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Superintendan Wong Leong Meng Ketua Polis Daerah Beaufort.

Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Hasil siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah, dan kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan bunuh diri. Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan oleh pakar forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Pihak polis masih meneruskan siasatan dan menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

— Sumber: Agensi