Sekumpulan saintis dan jurutera China mengumumkan bahawa mereka telah membangunkan mesingan berkeupayaan tinggi yang mampu menembak 450,000 peluru seminit bagi setiap laras.

Dibangunkan di Taiyuan, sebuah hab industri di tengah China, senjata ini boleh dilengkapi dengan sehingga lima laras, membolehkan kadar tembakan maksimum mencapai dua juta peluru seminit, menurut para pembangunnya.

Dengan kadar tembakan yang luar biasa ini, mesingan tersebut dikatakan mampu menyerang dan memintas sasaran hipersonik yang bergerak lebih pantas daripada Mach 7.

Sebagai perbandingan, sistem senjata Phalanx milik tentera AS yang paling canggih hanya mampu mencapai 4,500 peluru seminit.

Jika dakwaan ini benar, senjata ini boleh meningkatkan keupayaan China dalam menghadapi ancaman generasi baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam teknologi senjata canggih.

Cabaran

Salah satu cabaran terbesar bagi senjata yang mampu menembak jutaan peluru seminit ialah mengekalkan bekalan peluru yang berterusan.

Bagi mengatasi masalah ini, para pembangun telah mengintegrasikan sistem magazin berbentuk bekas yang mengandungi laras pakai buang, yang boleh digantikan dengan mudah setelah habis digunakan.

Menurut ketua pasukan, Lu Xutao dari North University of China, pendekatan ini bertujuan untuk:
Meningkatkan kelajuan pemuatan
Mengurangkan kehausan laras serta mengekalkan ketepatan tembakan
Memastikan serangan berterusan, operasi berpanjangan, dan tindak balas pantas

Cabaran lain ialah sistem pencetus mekanikal, yang sebelum ini gagal memenuhi keperluan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) sebanyak 7,500 tembakan sesaat.

Bagi menyelesaikan masalah ini, pasukan Lu telah menggunakan pencetus elektronik yang menjana jet logam bertenaga tinggi untuk menyalakan letupan dalam masa hanya 17.5 mikrodetik.

Inovasi ini dikatakan cukup berkuasa untuk mencapai kadar tembakan 450,000 peluru seminit.

Gambar sekadar hiasan senjata Metal Weapon.

Percubaan Sebelumnya oleh AS

Pada tahun 1990-an, pencipta Australia Mike O’Dwyer mencadangkan senjata eksperimen 36 laras yang mampu menembak satu juta peluru seminit.

Jabatan Pertahanan AS berminat dengan teknologi ini dan menawarkan kerjasama kepada O’Dwyer bagi menjadikannya operasi sebenar.

Namun, akibat kesukaran teknikal, projek tersebut dihentikan, dan syarikat O’Dwyer, Metal Storm Inc., akhirnya diisytiharkan muflis.

Pada tahun 2006, O’Dwyer mendedahkan bahawa tentera China pernah menawarkan $100 juta untuk memperoleh teknologi tersebut.

Sejak itu, China terus melabur dalam pembangunan senjata ini, menggunakan sumber teknologi yang luas bagi menyempurnakannya.

Sumber: South China Morning Post, The Defense Post