Satu kajian yang dijalankan selama hampir satu dekad di Jerman mendapati bahawa pokok yang tumbuh berhampiran menara telekomunikasi mengalami kerosakan akibat pancaran radiofrekuensi (RF). Penyelidik melaporkan kesan paling ketara berlaku pada bahagian pokok yang menghadap terus ke arah menara, di mana daun bertukar perang lebih awal dan dahan mengalami kematian secara beransur-ansur.

Gambar sekadar hiasan menara telekomunikasi
Mengapa Pokok Dijadikan Subjek Kajian?
Berbanding manusia atau haiwan yang boleh bergerak, pokok kekal di lokasi yang sama, menjadikannya subjek ideal untuk menilai kesan pendedahan radiasi dalam tempoh yang panjang. Penyelidik dapat memerhatikan perubahan secara langsung, seperti daun gugur lebih awal dan dahan menjadi kering, tanpa dipengaruhi faktor psikologi seperti dalam kajian terhadap manusia.
Kajian ini meneliti pokok yang telah terdedah kepada pancaran RF selama lebih lima tahun dan mendapati bahawa tahap radiasi adalah lebih tinggi pada bahagian pokok yang menghadap menara telekomunikasi.
Dapatan Kajian
Data dikumpulkan daripada 65 menara telekomunikasi, termasuk arah pancaran antena serta ketinggian pemasangannya. Pemerhatian di beberapa kawasan seperti Bamberg dan Hallstadt di Jerman menunjukkan bahawa daun pada bahagian pokok yang menghadap menara bertukar perang lebih cepat.
Walaupun kerosakan turut dikesan di seluruh bahagian pokok, impak lebih ketara pada bahagian yang menerima pancaran terus daripada menara. Penyelidik juga menolak kemungkinan faktor lain seperti serangan serangga perosak atau penyakit, kerana kerosakan hanya berlaku di satu sisi pokok, bukan secara menyeluruh.

Implikasi Radiasi Terhadap Alam Sekitar
Dalam tempoh dua dekad terakhir, bilangan menara telekomunikasi semakin meningkat, namun kajian mengenai kesannya terhadap alam sekitar masih terhad. Beberapa kajian menunjukkan bahawa impak radiasi bergantung kepada tempoh pendedahan, kekuatan isyarat, serta tahap pertumbuhan tumbuhan.
Lebih membimbangkan, kesan negatif ini dikesan walaupun pada tahap radiasi yang masih berada dalam garis panduan keselamatan semasa. Penemuan ini mencetuskan keperluan untuk kajian lebih mendalam bagi memahami impak jangka panjang radiasi RF terhadap tumbuhan dan persekitaran.
Walaupun dapatan kajian ini membimbangkan, penyelidikan lebih menyeluruh dengan sampel dari pelbagai lokasi diperlukan bagi mengesahkan kesan sebenar radiasi menara telekomunikasi terhadap ekosistem dan kesihatan manusia.