Keningau, 18 Mac 2025 – Mahkamah Sesyen Keningau telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Kerajaan Negeri Sabah untuk membayar RM170,056.58 kepada seorang kontraktor tempatan, Mohd Frizaile Bin Dalan. Keputusan ini dibuat selepas mahkamah mendapati bahawa kontrak projek yang diberikan kepada kontraktor tersebut telah ditamatkan secara tidak sah.
Kes ini melibatkan kerja-kerja naik taraf sistem perparitan di Pekan Tenom yang telah siap sebahagiannya sebelum kontrak tersebut ditamatkan. Mahkamah turut menetapkan bayaran itu akan dikenakan faedah sebanyak 4% setahun sehingga penyelesaian penuh dilakukan.
Perbicaraan berlangsung selama dua hari, di mana pihak Plaintiff yang diwakili oleh peguam Azhier Farhan Arisin membentangkan hujah dengan dua orang saksi. Pihak Defendan pula, yang diwakili oleh Peguam Negeri Sabah, Yee Tsai Howe, memanggil empat saksi dalam pembelaan mereka, termasuk Lanree @ Henry Asing, yang merupakan Jurutera JPS Daerah Tenom ketika surat penamatan kontrak ditandatangani.
Dalam hujahnya, pihak Defendan mendakwa bahawa dokumen seperti Sijil Penyiapan Kerja dan Laporan Penilaian Prestasi Kontraktor hanyalah draf dalaman dan tidak boleh digunakan untuk menuntut bayaran. Bagaimanapun, Hakim Ahmad Fairuz Mohd Fuzi menolak hujah itu dan menegaskan bahawa dokumen berkenaan adalah dokumen sah yang telah diluluskan secara rasmi untuk menyokong tuntutan Plaintiff.
Defendan juga cuba mengurangkan jumlah pembayaran daripada RM170,056.58 kepada RM59,390.00 dengan alasan penilaian kerja dibuat berdasarkan kaedah Perakuan Muktamad Kontrak. Namun, mahkamah mendapati kaedah tersebut tidak adil dan tidak mengikut prosedur penilaian yang wajar.
Hakim Ahmad Fairuz menyatakan bahawa keputusan ini bukan sahaja berdasarkan bukti dokumentasi tetapi juga pengesahan kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh Plaintiff.
