Kota Kinabalu, 18 Mac 2025 – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan sindiket pemindahan minyak diesel bersubsidi secara haram di perairan Sepanggar dalam satu operasi khas semalam. Dalam serbuan itu, sebuah kapal kargo yang membawa 39,780 liter minyak diesel dirampas, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM7.1 juta.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim, memaklumkan bahawa kejayaan operasi ini adalah hasil risikan serta pemantauan rapi selama tiga jam oleh Unit Risikan Marin dan pasukan bot ronda.

Foto:PPM

“Empat individu, termasuk seorang warga tempatan dan tiga warga asing berusia antara 33 hingga 56 tahun, ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen sah bagi pemindahan minyak tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kapal kargo berkenaan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan mengalihkan barang kawalan tanpa kebenaran.

Tambah beliau, pihak PPM akan terus memperketat kawalan dan meningkatkan operasi bagi memastikan bahan bersubsidi negara tidak diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan atau pemindahan bahan bersubsidi secara haram digesa untuk melaporkan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras jenayah ini.