KUALA LUMPUR – Anugerah Tandas Terbaik (TOTYA) akan dijadikan acara tahunan peringkat kebangsaan bagi meningkatkan kesedaran sivik dalam penjagaan kebersihan tandas awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata keputusan itu telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri.

Menurut beliau, pertandingan yang kini memasuki tahun ketiga akan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM160,000, di mana pemenang utama bagi setiap kategori akan menerima RM20,000.
“Tahun ini, TOTYA akan mempertandingkan lapan kategori, iaitu:
✅ Pihak berkuasa tempatan (PBT)
✅ Kawasan Rehat dan Rawat (R&R)
✅ Hotel
✅ Restoran
✅ Pusat beli-belah
✅ Sekolah
✅ Medan selera
✅ Rumah ibadat,” katanya kepada pemberita selepas program Sentuhan Kasih Ramadan bersama media, malam tadi.
Antara yang turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli; serta Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan.
Kor Ming memaklumkan bahawa tarikh tutup penyertaan TOTYA adalah pada 30 April ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa hasil kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan Kementerian Pendidikan, sebanyak 12,000 tandas awam, termasuk lebih 8,000 tandas sekolah, telah dinaik taraf dengan peruntukan hampir RM900 juta.
Langkah ini bertujuan untuk memastikan amalan kebersihan diterapkan sejak di bangku sekolah, sekali gus meningkatkan standard kebersihan tandas di seluruh negara.