Wilayah Gaza kini secara rasmi memasuki fasa pertama kebuluran berikutan sekatan ketat oleh Israel yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan. Ketua Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail Thawabteh, mendedahkan bahawa hampir dua juta penduduk di wilayah itu telah kehilangan sepenuhnya jaminan makanan.

“Rakyat Palestin sedang berdepan dengan krisis kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelum ini akibat penutupan pintu sempadan oleh Israel serta sekatan terhadap bantuan yang sepatutnya disalurkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua pasar di Gaza telah kehabisan bekalan makanan asas, menyebabkan penduduk tidak dapat memperoleh keperluan harian. Tambah memburukkan keadaan, puluhan kedai roti terpaksa menghentikan operasi akibat kekurangan bahan asas untuk menghasilkan makanan.

Situasi ini terus meruncing, dengan penduduk Gaza berdepan ancaman kelaparan yang semakin parah tanpa akses kepada bantuan yang amat diperlukan.