JAKARTA, 21 Mac – Enam jemaah umrah dari Indonesia dilaporkan maut, manakala 14 lagi cedera dalam kemalangan bas di laluan Madinah-Mekah, Arab Saudi pada Khamis, menurut Kementerian Luar Indonesia.

Menurut Pengarah Perlindungan Warganegara kementerian tersebut, Judha Nugraha, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 petang waktu tempatan (5.30 petang waktu Indonesia Barat) di kawasan Wadi Qudeid, kira-kira 150 kilometer dari Jeddah.

Bas terbalik dan terbakar.

“Berdasarkan laporan awal, bas yang dinaiki jemaah terlibat dalam perlanggaran sebelum terbalik dan terbakar,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Konsulat Jeneral Indonesia di Jeddah segera bertindak dengan menghantar pasukan dari Unit Perlindungan Warganegara Indonesia ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut. Pegawai-pegawai kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi, hospital, pengendali pelancongan, Kementerian Haji, Muassasah, serta syarikat bas bagi memastikan bantuan yang diperlukan dapat diberikan kepada mangsa.

Pengarah Perlindungan Warganegara kementerian, Judha Nugraha,

“Kementerian Luar juga bekerjasama dengan Kementerian Agama serta agensi umrah bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai jemaah yang terlibat serta menghubungi keluarga mereka di Indonesia,” tambah Judha.

Mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital di Arab Saudi, sementara keluarga mereka telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

“Kerajaan Indonesia turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga enam mangsa yang terkorban dan memberi jaminan bahawa sokongan akan terus diberikan kepada mereka yang masih menerima rawatan,” katanya.