SHAH ALAM – Malaysia mencatatkan penurunan lima anak tangga dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2025, berada di kedudukan ke-64 berbanding ke-59 sebelum ini. Laporan tersebut disediakan oleh firma penyelidik Gallup dengan kerjasama Oxford Wellbeing Research Centre dan UN Sustainable Development Solutions Network, berdasarkan analisis dari tahun 2022 hingga 2024 melibatkan kira-kira 1,000 responden dari 147 negara.

Menurut laporan itu, beberapa faktor utama yang mempengaruhi tahap kebahagiaan termasuk sokongan sosial, pendapatan, kebebasan, kesihatan, dan persepsi terhadap rasuah.
“Malaysia menduduki tempat ke-4 dalam kalangan anggota ASEAN dan menariknya, negara ini adalah antara empat negara teratas di dunia di mana rakyatnya paling kerap berkongsi makanan. Secara purata, rakyat Malaysia berkongsi kira-kira 11 hidangan seminggu dengan orang lain,” kata laporan itu pada Khamis.
Dalam kalangan negara ASEAN, Singapura berada di tangga ke-34, diikuti Vietnam (46), Thailand (49), Indonesia (83), Laos (93), Kemboja (124), dan Myanmar (126).

Sementara itu, negara-negara Nordik sekali lagi mendominasi kedudukan teratas, dengan Finland mengekalkan takhta sebagai negara paling bahagia selama lapan tahun berturut-turut, memperoleh markah 7.736 dalam Indeks Penilaian Hidup.
Denmark, Iceland, dan Sweden masing-masing berada di kedudukan kedua, ketiga, dan keempat, sama seperti tahun sebelumnya. Belanda pula kembali ke kelompok lima teratas. Costa Rica (6) dan Mexico (10) turut mencatat sejarah apabila buat pertama kali tersenarai dalam senarai 10 negara paling bahagia di dunia.
Selain itu, Jerman meningkat dari tangga ke-24 ke-22, manakala Amerika Syarikat (AS) jatuh ke kedudukan ke-24, kedudukan terendahnya setakat ini.
Sebaliknya, Lubnan (141), Sierra Leone (142), dan Afghanistan (143) disenaraikan sebagai negara paling tidak bahagia di dunia, menurut laporan tersebut.
Bernama.