TUARAN, 23 Mac 2025 – Status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang disandang Datuk Peter Anthony masih belum dimuktamadkan susulan usaha terbaharu beliau memohon semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman penjara ke atasnya pada 4 Mac lalu.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, memaklumkan bahawa pihaknya sedang meneliti tarikh pemfailan semakan tersebut bagi menentukan sama ada Peter telah mengambil tindakan dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

Image Credits: Datuk Peter Anthony

“Tempoh itu sepatutnya tamat pada 18 Mac. Kita telah dimaklumkan melalui notis bahawa satu permohonan akhir akan dibuat, jadi kita beri ruang untuk proses itu selesai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah, Sabtu lalu.

Peter, yang juga Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), difahamkan telah memfailkan notis usul semakan bersama afidavit sokongan di Mahkamah Rayuan pada 14 Mac melalui firma guaman Tetuan Kow, Lau & Ezra. Dalam permohonan itu, beliau menamakan Pendakwa Raya sebagai responden dan memohon agar sabitan serta hukuman di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan diketepikan.

Datuk Kadzim menjelaskan bahawa Pejabat DUN telah meminta peguam Peter supaya mengemukakan salinan notis tersebut untuk semakan lanjut.

“Jika tarikh permohonan itu dibuat selepas 18 Mac, maka kerusi yang disandang beliau akan dikosongkan secara automatik. Tetapi sekiranya ia difailkan sebelum atau pada tarikh tersebut, beliau masih dalam tempoh yang dibenarkan,” katanya lagi.

Menurut beliau, pihak DUN dijangka menerima pengesahan rasmi daripada peguam Peter Anthony pada Isnin atau Selasa ini (24 atau 25 Mac), sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat mengenai status kerusi DUN Melalap.