KOTA KINABALU – Seorang pemuda dari Keningau yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan telah berjaya diselamatkan di Kemboja dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sekitar jam 8.30 malam tadi.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh, mangsa dibebaskan awal pagi kelmarin sebelum dihantar pulang ke Malaysia pagi semalam. Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke Sabah pada malamnya.

Pemuda keningau yang berjaya diselamatkan dari sindiket penipuan pekerjaan.

“MHO menerima laporan daripada keluarga mangsa pada 25 Mac. Kami segera mengatur misi menyelamat dengan berhubung kepada pihak Kementerian Luar Kemboja dan keluarga mangsa untuk memastikan keselamatannya,” katanya kepada media selepas menyambut kepulangan pemuda tersebut.

Beliau menegaskan bahawa kes seperti ini harus dijadikan pengajaran kepada orang ramai, khususnya pencari kerja, agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang mencurigakan.

“Kes sebegini sering berlaku, namun masih ada yang tertipu, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman kerana kurang pendedahan mengenai modus operandi sindiket ini,” tambahnya.

Sementara itu, mangsa yang enggan dikenali memaklumkan bahawa dia pada mulanya dijanjikan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dengan gaji yang menarik.

“Saya baru dua minggu di sana dan sentiasa diawasi oleh dua atau tiga orang. Mujur saya belum pernah dikasari,” katanya yang enggan mengulas lebih lanjut mengenai kejadian tersebut.

Sebelum ini, sebuah portal media melaporkan bahawa ibu mentua mangsa, yang turut enggan dikenali, memberitahu bahawa mangsa berlepas ke Singapura pada 5 Mac tetapi gagal dihubungi sejak itu.

Menurutnya, pemuda itu dipercayai terpedaya dengan pujukan dua rakan yang menawarkan pekerjaan di Singapura. Namun, selepas hampir sebulan, dia akhirnya memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia sebenarnya berada di Kemboja.

“Pada 22 Mac, barulah kami dapat mengesahkan bahawa dia bukan di Singapura tetapi di Kemboja. Kami segera membuat laporan polis selepas diberitahu bahawa dia telah diculik dan dikurung di sebuah bilik serta dipaksa melakukan kerja berkaitan komputer,” katanya.