Kota Kinabalu— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat menyiasat dakwaan penyelewengan dalam pemberian lesen carigali mineral di Sabah, susulan pendedahan mengejut oleh seorang pemberi maklumat yang dikenali sebagai “Albert”.

Pendedahan itu merangkumi rakaman video serta mesej WhatsApp yang didakwa menunjukkan beberapa wakil rakyat negeri terlibat menerima habuan sebagai balasan untuk meluluskan lesen berkaitan aktiviti perlombongan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa semua individu yang dinamakan dalam dokumen dan rakaman berkenaan akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kita akan bertindak berdasarkan maklumat yang ada dan menjalankan siasatan menyeluruh. Tiada sesiapa pun terkecuali, termasuk pemimpin politik negeri,” katanya dalam kenyataan media ringkas.

Tambah beliau, sebarang tindakan lanjut termasuk pendakwaan akan diputuskan setelah siasatan selesai dan dirujuk kepada pihak pendakwa raya.

Pendedahan ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap integriti pengurusan sumber asli negeri, terutama dalam konteks pembangunan Sabah yang memerlukan ketelusan mutlak dalam setiap keputusan.

Seriusbah.com akan terus mengikuti perkembangan kes ini.