SEMPORNA – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup barangan kosmetik bernilai kira-kira RM257,900 dalam satu operasi malam semalam.

Rampasan dilakukan sekitar jam 10.30 malam di kawasan jeti Kampung Sum Sum, Tampi-Tampi selepas sepasukan anggota menjalankan serbuan berdasarkan maklumat risikan Unit Risikan Marin PPM Semporna.
Menurut Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim, pasukan operasi menahan seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Exora berwarna hitam.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan 41 kotak besar mengandungi produk kosmetik yang dipercayai baru dibawa masuk secara haram dari Filipina,” katanya dalam satu kenyataan media.
Semua barangan tersebut tidak disertakan dengan sebarang dokumen pemilikan sah, resit belian atau pengesahan pendaftaran.
Kesemua rampasan termasuk individu yang ditahan telah dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.