Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sekali lagi menunjukkan keprihatinan baginda terhadap nasib rakyat apabila turun padang melawat mangsa kejadian letupan paip gas di Putra Heights pagi ini.

Melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), baginda telah menyumbangkan jumlah keseluruhan RM308,000, dengan setiap 308 keluarga yang terkesan menerima RM1,000 sebagai bantuan peribadi.

Selain menyampaikan sumbangan, Seri Paduka Baginda turut meninjau sendiri lokasi kejadian serta mengunjungi Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang beroperasi di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights. Lawatan ini turut disertai dengan sesi menyantuni mangsa serta para petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus sejak tragedi berlaku.

Tindakan Agong ini bukan sahaja membawa sinar harapan kepada mangsa, malah menjadi simbol kasih sayang seorang raja terhadap rakyatnya. Dalam situasi yang mencabar ini, kehadiran pemimpin yang empati dan cakna seperti Sultan Ibrahim amat dihargai oleh rakyat jelata.

Sumber: Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar