MADURA – Hasrat dua sahabat dari Madura untuk menunaikan ibadah haji dengan berjalan kaki terpaksa dihentikan selepas salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan kaki yang serius.

Perjalanan yang bermula pada 1 Februari lalu dengan penuh semangat berakhir di Cilegon, Banten apabila Muhammad Muheb Alfarizi, 35, mengalami bengkak kaki yang memaksanya untuk menghentikan misi suci itu dan kembali ke kampung halaman.

Gambar: Muheb dan rakan seperjalanannya, Anas Mahfud, semasa bermula misi berjalan kaki. -Surya.co.id

Muheb dan rakan seperjalanannya, Anas Mahfud, 40, bercadang untuk sampai ke Makkah dalam tempoh antara lapan hingga dua belas bulan. Mereka juga membawa bendera Indonesia sebagai simbol semangat patriotik sepanjang laluan mereka.

Menurut Muheb dalam satu perkongsian di Instagram @mood.jakarta, beliau terpaksa membuat keputusan sukar itu demi menjaga kesihatan walaupun masih menyimpan harapan untuk meneruskan perjalanan.

Selain isu kesihatan, beliau turut menjelaskan bahawa terdapat ketidaksefahaman antara dirinya dan Anas yang turut menjadi faktor utama. Tambahan pula, keluarganya memberi tekanan supaya beliau pulang segera.

Gambar: rri.co.id

Walaupun tidak berjaya menamatkan perjalanan seperti yang dirancang, kedua-dua mereka tetap menzahirkan penghargaan kepada semua yang menyokong misi tersebut.

Kisah ini menarik perhatian ramai di media sosial. Ada yang memuji keberanian mereka, namun tidak kurang juga yang mempersoalkan keselamatan dan persiapan mereka untuk misi sejauh itu. Sesetengah pengguna menyifatkan impian tersebut sebagai terlalu mencabar tanpa perancangan dan latihan yang rapi.