SULAWESI SELATAN – Seorang wanita warga emas berusia 66 tahun ditemukan maut selepas dipercayai ditelan seekor ular sawa di daerah Sidrap, Sulawesi Selatan, menurut laporan portal Detik.

Penduduk tempatan menemui tubuh mangsa di dalam perut ular tersebut setelah reptilia itu dibunuh ketika operasi mencari mangsa dijalankan.

Gambar tangkap layar dari video. Orang kampung membelah perut ular sawah tersebut.

Menurut pihak berkuasa, kejadian bermula apabila wanita tersebut dilaporkan keluar ke kebun untuk mencari tali pengikat kayu di kawasan belakang rumahnya.

Ketua polis tempatan, Inspektor Zakaria berkata, anak mangsa yang dikenali sebagai Nurdin mula risau apabila ibunya tidak pulang walaupun hari telah menjelang petang.

“Sekitar jam 8.30 malam, Nurdin ternampak seekor ular sawa sepanjang kira-kira enam meter dengan perut yang kelihatan membuncit,” ujar Zakaria.

Kerana berasa curiga, beberapa penduduk kampung bertindak membunuh ular tersebut. Setelah membelah perut reptilia itu, mereka menemui tubuh wanita malang tersebut dalam keadaan tidak bernyawa.