Kota Marudu, 5 April 2025 – Seorang wanita berusia 29 tahun sanggup mereka cerita kononnya menjadi mangsa samun semata-mata kerana takut dimarahi ibunya setelah menjual barang kemas milik mereka bagi melunaskan hutang.

Penipuan itu terbongkar selepas ibunya membuat laporan polis pada jam 9.35 malam, mendakwa anaknya diragut oleh dua lelaki bermotosikal di kawasan Pekan Tandek.

Ibu pejabat polis Daerah Kota Marudu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, laporan awal menyebut mangsa mengalami kecederaan ringan dan kehilangan tiga bentuk gelang emas serta satu rantai emas 916.

“Bertindak atas laporan, pasukan siasatan jenayah dari IPD Kota Marudu menjalankan siasatan di lokasi yang didakwa tempat kejadian. Hasil soal siasat ke atas wanita terbabit dan suaminya di Hospital Lotong Kota Marudu mendedahkan bahawa kejadian samun itu sebenarnya tidak berlaku,” jelasnya.

Beliau berkata, wanita berkenaan akhirnya mengaku mereka cerita tersebut kerana telah menggadaikan emas tersebut di kedai emas untuk menyelesaikan hutang yang ditanggung.

Kes masih dalam siasatan dan polis meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Orang awam juga digesa agar terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis melalui talian MERS 999 atau balai polis berhampiran.