Batu Pahat – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ditemui dalam keadaan menyedihkan selepas dipercayai terjatuh dan terperangkap dalam sebuah parit selama dua malam di Kampung Parit Kassim, Jalan Parit Jalil, tengah hari tadi.

Mangsa, Taib Ahmad, 79, seorang pesara tentera, ditemui penduduk kampung dalam keadaan tidak berbaju dan lemah dengan kedua-dua tapak kaki yang kelihatan kecut akibat cuaca sejuk dan hujan berterusan sejak hari dia dilaporkan hilang.

Taib Ahmad, 79, seorang pesara tentera.

Anak sulung beliau, Nazhaida Taib, 55, berkata, dia menerima panggilan daripada orang kampung kira-kira jam 1 tengah hari memaklumkan ayahnya ditemui dalam parit berhampiran kawasan ladang sawit.

“Mereka ternampak seorang lelaki tidak berbaju dalam parit dan terus bantu mengangkat abah keluar. Kawasan itu sunyi dan jarang dilalui orang, mungkin sebab itu tiada siapa perasan sebelum ini,” katanya.

Menurut Nazhaida, bapanya memberitahu bahawa dia telah tersesat semasa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Solok Wan Moh dan tidak dapat keluar dari parit tersebut kerana keletihan.

“Dua malam abah berada di situ, berdiri dalam parit supaya ada yang nampak. Walaupun tak makan dan minum, dia tetap sedar dan bertahan. Kalau abah pengsan, mungkin lain jadinya,” katanya.

Penduduk kampung bertindak segera menghubungi ambulans dan membawa Taib ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut. Sebelum itu, mereka turut membantu membersih dan memberi beliau sedikit makanan serta minuman.

Nazhaida turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk yang prihatin dan membantu ayahnya sebelum keluarga tiba.

Taib yang mengalami masalah ingatan dan menghidap kencing manis sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar menghantar barang keperluan yang diminta isterinya, Salma Osman, 75.

“Kehilangan abah disedari apabila salah seorang adik masuk ke biliknya dan mendapati dia tiada. Kami segera cari di kawasan sekitar dan buat hebahan di media sosial untuk mohon bantuan orang ramai,” tambahnya.