MELAKA – Seorang lelaki berusia 40 tahun telah ditahan polis kerana dipercayai melarikan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang merupakan individu berstatus orang kurang upaya (OKU). Kejadian berlaku di Taman Rambai Idaman, Bukit Rambai pada 5 April lalu.

Gambar suspek yang melarikan seorang remaja perempuan. Gambar Kosmo.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan bahawa tangkapan dibuat sekitar jam 4 pagi di Jalan Jati, Sungai Petani, Kedah.

“Siasatan bermula selepas ibu mangsa berumur 47 tahun membuat laporan polis. Berdasarkan maklumat, kita berjaya menjejaki dan menangkap suspek di Kedah,” katanya kepada media hari ini.

Gambar remaja perempuan berusia 18 tahun yang berjaya dijumpai dan diselamatkan. Gambar Kosmo.

Difahamkan, lelaki terbabit yang merupakan seorang peniaga dan tinggal di Melaka, dipercayai membawa remaja itu menggunakan sebuah kereta Perodua Kelisa berwarna perak ketika mangsa berada di taman permainan.

Menurut Christopher lagi, pada hari kejadian suspek membawa mangsa ke beberapa lokasi berbeza termasuk Seremban, Ipoh, Bukit Mertajam dan kampungnya di Baling, Kedah.

Kereta yang melarikan mangsa.

Pemeriksaan awal terhadap mangsa tidak menemui sebarang kecederaan luaran, manakala semakan ke atas kenderaan suspek juga tidak menjumpai barangan terlarang. Walau bagaimanapun, suspek didapati mempunyai rekod jenayah terdahulu berkaitan Akta Dadah Berbahaya di bawah Seksyen 15(1).

Kini, suspek telah direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melarikan individu tanpa kebenaran.