Kota Kinabalu – Seorang pekerja binaan berusia sekitar 40-an ditemui memanjat menara kren di sebuah tapak pembinaan di Luyang, pagi tadi. Lelaki tersebut mendakwa dia melakukannya tanpa disedari, sejurus selepas bangun tidur pada waktu subuh.
Menurut laporan, lelaki itu dilihat berada pada ketinggian lebih kurang 126 meter dari tanah, sedang meniti palang kren, sebelum pihak bomba dimaklumkan tentang kejadian tersebut pada jam 7 pagi. Anggota bomba segera dikerahkan untuk melakukan operasi penyelamatan.

Gambar My Metro– pekerja binaan sedang memanjat tanpa sedar.
Namun, lelaki tersebut yang bekerja di tapak pembinaan tersebut turun dengan selamat tanpa sebarang bantuan, dan menyatakan bahawa tindakannya itu berlaku tanpa kesedaran, dipercayai akibat mendengar ‘bisikan’ yang mendorongnya untuk memanjat hingga ke atas kren.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zeno Tinggalan berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 6.57 pagi dan sepasukan anggota bersama jentera dihantar ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai bomba.
“Sebaik tiba di lokasi, lelaki itu berada di hujung kren, di atas bangunan yang masih dalam pembinaan. Setelah hampir setengah jam dipujuk, dia akhirnya turun dengan selamat dan ditenangkan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi.
Lelaki tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.