Kuantan – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan tidak bernyawa selepas dipercayai tergelincir ke dalam air terjun ketika bergambar di Lata Jarum, Ulu Dong, Raub petang tadi.

Menurut Penguasa Kanan Bomba I dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa, mangsa dikenali sebagai Muhammad Shahrul Ikwan Adam Hareez Islami, dikatakan datang berkelah bersama dua orang rakannya di kawasan berkenaan.

Bomba mengeluarkan mangsa yang tergelincir ke dalam air terjun.- Gambar Bernama.

“Kami menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.10 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub segera dikerahkan ke lokasi. Difahamkan, mangsa berasal dari kawasan kampung berhampiran dan hanya datang untuk berehat tanpa berniat untuk mandi,” katanya.

Jelas beliau, kejadian berlaku sewaktu mangsa mahu merakam gambar berlatarbelakangkan pemandangan air terjun, sebelum dia tergelincir ke dalam kawasan air yang dalam.

“Rakannya yang sedang mengambil gambar melihat insiden itu dan segera meminta bantuan. Pasukan penyelamat dengan bantuan penduduk setempat berjaya menemui mangsa pada jam 5.42 petang di kedalaman sekitar 3.04 meter, di lokasi yang sama dia dipercayai terjatuh,” katanya lagi.

Gambar- Bernama

Tambahnya, usaha membawa naik mangsa menghadapi cabaran disebabkan arus yang kuat, namun berjaya dilakukan menggunakan pengusung serta tali keselamatan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), dan jenazah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.