TOKYO – Tiga orang masih belum ditemui selepas sebuah helikopter perkhidmatan perubatan kecemasan terhempas di perairan berhampiran pantai timur Tsushima, di barat daya Jepun, pada hari Ahad.

Helikopter perkhidmatan perubatan kecemasan yang terhempas di perairan pantai timur Tsushima.

Menurut laporan penyiar tempatan NHK, helikopter yang membawa enam individu itu berlepas dari Lapangan Terbang Tsushima di Wilayah Nagasaki menuju ke sebuah hospital di Wilayah Fukuoka sebelum kehilangan isyarat sekitar jam 2.50 petang waktu tempatan.

Antara mangsa nahas yang berjaya diselamatkan.

Helikopter berkenaan kemudian ditemui dalam keadaan terbalik dan terapung di laut kira-kira jam 5.05 petang.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa tiga orang telah berjaya diselamatkan, dan dua daripada mereka berada dalam keadaan sedar.

Kementerian Pengangkutan Jepun memaklumkan usaha mencari baki tiga lagi mangsa masih giat dijalankan.

Antara mereka yang berada dalam helikopter termasuk seorang juruterbang, mekanik, doktor, jururawat, seorang pesakit wanita dalam lingkungan usia 80-an dan seorang pengiring lelaki berumur sekitar 60-an.