KUALA LUMPUR: Trio penyampai 3Pagi ERA iaitu Radin, Nabil Ahmad dan Azad Jasmin kembali menghangatkan corong radio hari ini selepas berehat hampir sebulan.

Dalam satu kenyataan daripada Astro Audio, segmen pagi popular itu kekal menampilkan ketiga-tiga personaliti berkenaan yang sememangnya mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Trio penyampai 3Pagi ERA iaitu Radin, Nabil Ahmad dan Azad Jasmin segak memakai baju melayu- Foto Astro Audio.

Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, sepanjang tempoh rehat mereka, tugas mengendalikan 3Pagi ERA dipikul oleh Sharifah Shahira (Kak Rare), Haziq dan Namie. Katanya, ketiga-tiga mereka berjaya mengekalkan momentum program pagi tersebut dengan suntikan kreativiti dan gaya tersendiri yang terus menarik perhatian pendengar.

“Dengan kembalinya wajah utama segmen pagi ERA, kami merancang lebih banyak aktiviti dan inisiatif yang memberi nilai tambah kepada masyarakat.

“Antara fokus kami juga adalah membantu golongan yang memerlukan melalui program-program khas yang akan datang.

“Bagi pihak pengurusan ERA, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peminat dan pendengar yang terus menyokong kami dalam apa jua keadaan. Semangat anda semua menjadi pendorong kami untuk terus kekal dalam industri ini,” katanya.

Azah turut menambah bahawa Radin, Nabil dan Azad sendiri sangat teruja untuk kembali ke udara dan berinteraksi secara langsung dengan para peminat, memanfaatkan peluang ini untuk kembali rapat dengan komuniti pendengar setia mereka.