JAKARTA – Seorang wanita dikenali sebagai Dede Ruyanti bersama anaknya yang baru berusia empat bulan menjadi perhatian netizen selepas kisah mereka ditinggalkan suami tular di media sosial.
Insiden menyedihkan itu berlaku di Masjid Kaum Ciawi yang terletak di Tasikmalaya, Jawa Barat, ketika mereka sedang dalam perjalanan pulang menyambut lebaran di kampung halaman Ciamis.

Dede Ruyanti bersama anaknya yang baru berusia empat bulan ditinggalkan di Masjid.
Difahamkan, suaminya, Ade Candra Gunawan, bertindak meninggalkan mereka secara sengaja di perkarangan masjid tersebut tanpa memberikan sebarang penjelasan. Pada mulanya, Dede menyangka suaminya sekadar terlupa membawa mereka bersama selepas berhenti di masjid. Namun, siasatan kemudian mendapati tindakan itu dilakukan dengan niat.
Situasi menjadi lebih menyayat hati apabila Dede dan bayinya dibawa pulang ke kediaman Ade, namun lelaki itu dilaporkan enggan menerima mereka pada awalnya.
Pihak berkuasa mendedahkan bahawa Ade berasal dari Pangalengan, Kabupaten Bandung, dan telah berkahwin secara senyap dengan Dede, menjadikannya isteri kedua. Dalam masa yang sama, Ade sudah pun mempunyai seorang isteri pertama serta empat anak yang menetap di Pangalengan.