Siapa yang tidak tersentuh hati apabila melihat anak saudara yang dibesarkan sejak kecil kini terbaring tidak sedarkan diri, berjuang untuk hidup selepas terlibat dalam satu kemalangan yang ngeri pada Ahad. Itulah yang dialami oleh Sumardy Abdul Sani apabila anak saudara sulungnya, Muhammad Sopian Suardy (atau lebih mesra dipanggil Pian), mengalami kecederaan parah selepas kemalangan di jejambat berhampiran Lembaga Pelabuhan Klang, Selangor.

Mangsa Muhammad Sopian Suardy yang terbaring di atas jalan raya.

Pian yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dipercayai telah dihimpit oleh sebuah treler, menyebabkan dia hilang kawalan dan terjatuh dari jejambat tersebut. Kejadian yang mengerikan itu disaksikan oleh beberapa pengguna jalan raya yang berada berhampiran lokasi.

Menurut Sumardy, kecederaan yang dialami oleh anak saudaranya sangat serius dan amat memilukan. “Doktor telah sahkan bahawa limpa Pian pecah dan terpaksa dibuang. Rahang dan tangan dia juga patah. Kini Pian sedang ditidurkan dan berada di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Keadaannya masih belum stabil,” kata Sumardy dalam satu posting di Facebook pada Ahad.

Jarak ketinggian Flyover di mana mangsa dihimpit dan terjatuh.

Tambahnya lagi, dia terlalu sedih untuk berkongsi gambar atau keadaan fizikal anak saudaranya kerana ia terlalu menyayat hati. “Pian ini memang sangat rapat dengan saya sejak kecil. Dulu, setiap kali saya balik kerja, dia pasti akan menjerit dari jauh, ‘Pak Ngah! Pak Ngah!’ Suara itu masih terngiang-ngiang di telinga saya,” ujarnya lagi.

Sehubungan dengan insiden tersebut, Sumardy memohon agar mana-mana saksi yang berada di lokasi kejadian tampil untuk membantu dalam siasatan dan membuat laporan polis. “Kami belum mendapat rakaman dari kamera dashcam saksi pada petang Ahad itu. Jika ada sesiapa yang boleh membantu, harap tampil untuk memudahkan urusan laporan polis,” katanya dengan harapan.

Melalui perkongsian tersebut, ramai pengguna media sosial meluahkan rasa simpati dan kesedihan terhadap nasib yang menimpa Pian.