INDONESIA – Gunung Semeru yang terletak di wilayah Lumajang, Jawa Timur kembali menunjukkan aktiviti aktif dengan tiga letusan yang berlaku dalam tempoh 11 minit pada hari Selasa, menurut laporan Pos Pemantauan Gunung Api (PPGA) Semeru di Gunung Sawur.
Letusan pertama tercatat pada jam 8.47 pagi waktu tempatan (WIB), menghasilkan debu tebal setinggi 400 meter yang terbawa angin ke arah barat daya. Dua minit kemudian, pada jam 8.49 pagi, satu lagi letusan lebih kuat berlaku dengan kepulan abu mencapai ketinggian 600 meter, juga menghala ke arah yang sama.

kredit gambar: CNN Indonesia
Letusan ketiga berlaku pada jam 8.58 pagi dan menghasilkan abu setinggi 400 meter. Kesemua letusan ini disahkan oleh pegawai PPGA Semeru, Liswanto, dalam kenyataan rasmi.
Ketua Bahagian Kecemasan dan Logistik dari Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Lumajang, Yudhi Cahyono, memaklumkan bahawa Gunung Semeru kini berada pada tahap aktiviti Level II (Waspada). Penduduk sekitar diingatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius 8 kilometer dari puncak gunung di sepanjang aliran Besuk Kobokan serta menjauhi kawasan sejauh 500 meter dari tebing sungai berhampiran, kerana dikhuatiri berlakunya aliran awan panas dan lahar yang boleh mengalir sehingga 13 kilometer.
Selain itu, hujan lebat yang sering berlaku di kawasan tersebut turut meningkatkan risiko berlakunya banjir lahar. “Orang ramai perlu sentiasa berwaspada terhadap potensi aliran awan panas (APG), runtuhan lahar dan aliran lava, terutamanya di sepanjang sungai yang bermula dari puncak Gunung Semeru,” jelas Yudhi.