Tawau, 8 April 2025 – Seorang lelaki berusia 31 tahun telah ditahan pihak polis selepas disyaki terlibat dalam cubaan merogol seorang kanak-kanak, susulan aduan daripada orang awam.

Anggota dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tawau yang sedang menjalankan rondaan rutin menerima maklumat mengenai seorang lelaki mencurigakan yang telah ditahan oleh orang ramai di sekitar kawasan bandar. Lelaki tersebut dipercayai berkelakuan tidak senonoh dan mengundang kebimbangan penduduk setempat.

Kredit: IPD Tawau

Apabila pihak polis tiba di lokasi kejadian, suspek telah diserahkan oleh orang awam untuk tindakan lanjut. Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia.

Pemeriksaan fizikal tidak menemui sebarang objek atau bahan terlarang pada suspek. Dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan ditahan reman bagi membantu siasatan.

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 15(a)(2) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.