8 April 2025 – Dunia sains dikejutkan dengan kejayaan Colossal Biosciences, sebuah syarikat bioteknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, apabila mereka berjaya ‘mengembalikan’ spesies serigala purba yang telah lenyap sejak lebih 10,000 tahun lalu. Ini menjadikan mereka organisasi pertama yang merealisasikan proses de-extinction secara menyeluruh.

Romulus, Remus, dan Khaleesi – dilahirkan dalam keadaan sihat di satu kawasan pemeliharaan khas- gambar New york post.
Dalam kenyataan rasmi, syarikat itu mendedahkan bahawa tiga ekor anak serigala purba berjaya dilahirkan melalui teknologi penyuntingan genetik CRISPR. Pakar genetik syarikat itu, Dr. Elizabeth Grant, menyifatkan pencapaian ini sebagai satu titik perubahan besar dalam bidang pemuliharaan spesies terancam dan juga potensi pemulihan biodiversiti global.
Proses bermula dengan pengambilan DNA daripada fosil gigi dan tengkorak yang berusia antara 13,000 hingga 72,000 tahun. Genetik serigala purba kemudian dibina semula dan digabungkan ke dalam genom serigala kelabu moden.
Embrio yang terhasil dipindahkan ke rahim anjing domestik sebagai ibu tumpang. Hasilnya, tiga anak serigala purba – dinamakan Romulus, Remus, dan Khaleesi – dilahirkan dalam keadaan sihat di satu kawasan pemeliharaan khas yang dirahsiakan lokasinya di AS.

Gambar: New york post.
Kejayaan ini dianggap sebagai langkah besar dalam sains genetik dan membuka laluan untuk membawa semula spesies lain yang telah pupus. Colossal turut menyatakan mereka kini sedang menjalankan usaha serupa terhadap spesies mamut berbulu dan burung dodo.
Namun, para pakar turut mengingatkan bahawa sebarang usaha membawa kembali haiwan pupus ke habitat moden perlu dikawal rapi supaya tidak menjejaskan kestabilan ekosistem semasa.