WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengenakan tarif import baharu sebanyak 104 peratus terhadap semua produk dari China, yang berkuat kuasa mulai hari ini (Rabu), menurut kenyataan rasmi oleh Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt semalam.

Kadar baharu ini adalah tambahan kepada tarif sedia ada yang telah dikenakan sebelum penggal kedua Trump bermula.

kredit: utusan

China pada awalnya dijangka menerima tarif sebanyak 34 peratus sebagai sebahagian daripada pelaksanaan dasar perdagangan ‘timbal balik’ oleh Trump. Namun, selepas Beijing tetap dengan rancangannya untuk mengenakan balasan tarif terhadap barangan dari AS, Trump menaikkan kadar itu sebanyak 50 peratus lagi, menjadikan jumlah kenaikan keseluruhan kepada 84 peratus.

Awal Selasa, Kementerian Perdagangan China melahirkan bantahan keras terhadap keputusan itu, menyifatkannya sebagai “kesilapan berulang,” serta berjanji akan mempertingkatkan tindak balas mereka terhadap produk eksport dari Amerika.

Berikutan kenyataan Leavitt, pasaran saham Amerika mula mengalami penyusutan selepas mencatatkan kenaikan awal pagi. Menjelang jam 3 petang waktu Timur, indeks Dow Jones, Nasdaq, dan S&P 500 semuanya mencatatkan penurunan.

“China membuat kesilapan besar apabila memilih untuk membalas tindakan ini dengan lebih keras, sedangkan Presiden Trump tetap teguh dan tidak akan berganjak,” kata Leavitt kepada media.

Beliau menambah bahawa China sebenarnya mahu berunding, namun tidak pasti bagaimana untuk melakukannya. Tambahan pula, tiada maklumat diberikan mengenai sebarang kemungkinan syarat untuk penurunan semula tarif itu.

Sebelum ini, pada bulan Februari, Trump memulakan pusingan tarif pertama dengan mengenakan 10 peratus terhadap semua produk dari China, tanpa sebarang pengecualian. Alasan tindakan tersebut dikaitkan dengan isu penyeludupan fentanyl dan sokongan terhadap migrasi haram ke AS.

Sebulan lalu, kadar tersebut telah digandakan.

China kekal sebagai sumber kedua terbesar bagi import Amerika Syarikat, dengan nilai eksport ke AS berjumlah AS$439 bilion tahun lalu. Sebaliknya, AS mengeksport sebanyak AS$144 bilion ke China.

Kesan daripada kenaikan tarif ini dijangka turut dirasai oleh pelbagai industri dalam negara dan berpotensi mengakibatkan kehilangan pekerjaan.

Menurut kajian oleh Institut Peterson untuk Ekonomi Antarabangsa, pada akhir penggal pertama Trump, purata tarif yang dikenakan ke atas barangan dari China adalah sebanyak 19.3 peratus. Semasa pentadbiran Presiden Joe Biden, kadar itu dikekalkan dan ditambah, menjadikan purata kepada 20.8 peratus.

Dengan pelaksanaan terkini, kadar tarif purata dijangka meningkat hampir kepada 125 peratus.

Walaupun sesetengah syarikat telah beralih kepada negara lain seperti Mexico dan Vietnam untuk pengeluaran, China masih merupakan pembekal utama bagi barangan seperti telefon pintar, komputer, permainan dan alat elektronik pengguna lain — yang akan mengalami kenaikan harga dalam masa terdekat.


Negara-negara lain turut terkesan

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa puluh negara termasuk Kesatuan Eropah (EU) turut terlibat dengan tarif baharu yang akan mula dikuatkuasakan pada tengah malam ini. Kadar kenaikan tersebut berada dalam lingkungan 11 hingga 50 peratus.

Walaupun beberapa perbincangan telah dilakukan bersama pemimpin antarabangsa untuk merundingkan kadar lebih rendah, Leavitt menegaskan bahawa Trump tetap berhasrat untuk meneruskan pelan asal.

Menurutnya, selepas berbincang secara langsung dengan Presiden Trump, beliau mengesahkan bahawa tarif baharu ini akan tetap dikuatkuasakan seperti dijadualkan.

Trump turut mengarahkan pasukan rundingan perdagangan untuk menyediakan pelan perjanjian bersesuaian dengan negara-negara yang mahu berunding semula.