ISKANDAR PUTERI – Seorang bayi lelaki berusia lima bulan dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia ketika berada di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di kawasan Kangkar Pulai, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan, ibu kepada bayi malang itu yang berusia 31 tahun telah membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan pada hari Rabu.

Gambar: Sinar Harian
“Hasil siasatan awal mendapati, bayi tersebut tidak memberikan sebarang respons selepas cuba dikejutkan oleh pengasuhnya, seorang wanita tempatan berumur 34 tahun.
“Bayi itu segera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun pihak hospital mengesahkan bahawa bayi berkenaan telah meninggal dunia,” jelasnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.
Beliau menambah bahawa hasil bedah siasat tidak menemui sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh bayi tersebut. Namun begitu, siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematian masih sedang dijalankan.
Buat masa ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun pihak polis turut menyiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang berkaitan dengan perbuatan mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kecederaan fizikal atau emosi.
Jika didapati bersalah, pesalah boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM50,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.