WASHINGTON: Pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bercadang untuk memperkenalkan denda harian yang tinggi kepada imigran yang masih berada di negara itu walaupun telah menerima arahan pengusiran.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada rancangan Trump untuk melancarkan operasi pengusiran berskala besar. Berdasarkan dokumen yang diperoleh, pendatang tanpa izin yang tidak meninggalkan Amerika Syarikat akan dikenakan denda sehingga AS$998 (kira-kira RM4,480) setiap hari.

Sumber gambar: Getty

Sekiranya denda itu tidak dibayar, aset atau harta milik mereka berkemungkinan dirampas. Kerajaan menegaskan bahawa individu yang menerima arahan pengusiran sepatutnya keluar secara sukarela menggunakan aplikasi khas yang disediakan. Jika tidak, mereka akan dikenakan tindakan tegas.

Jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri berkata, “Langkah terbaik untuk pendatang yang berada secara haram ialah meninggalkan negara ini secara sukarela, jika tidak mereka akan menghadapi akibat termasuk denda harian yang tinggi.”

Cadangan ini bersandarkan undang-undang persekutuan yang diperkenalkan pada tahun 1996. Undang-undang itu membenarkan denda sehingga AS$500 sehari kepada mereka yang ingkar dengan perintah pengusiran. Namun, pentadbiran Trump mencadangkan jumlah yang jauh lebih tinggi, malah mahu denda ini dikira secara retroaktif hingga lima tahun, yang boleh mengakibatkan jumlah keseluruhan mencecah lebih AS$1 juta (lebih RM4 juta).

Menurut laporan, amaran dan ancaman ini dikeluarkan beberapa hari selepas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menggesa pendatang tanpa izin agar keluar sendiri dari negara tersebut. Mereka yang patuh mungkin masih dibenarkan kembali ke AS melalui saluran yang sah, manakala mereka yang diusir secara paksa berdepan larangan masuk semula.

Selain denda harian, mereka juga mungkin dikenakan penalti tambahan antara AS$1,000 hingga AS$5,000 jika gagal berbuat demikian selepas menyatakan hasrat untuk keluar. Hukuman penjara juga boleh dikenakan dalam kes tertentu.

Namun begitu, dasar ini dikritik kerana berkemungkinan menekan kumpulan yang kurang berkemampuan. Statistik daripada Institut Polisi Migrasi menunjukkan bahawa sekitar 26 peratus daripada pendatang tanpa izin berada di bawah paras kemiskinan.

Denda dan tindakan ini bakal dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP), termasuk kemungkinan penyitaan harta.

Ini bukan kali pertama undang-undang 1996 digunakan oleh Trump. Pada penggal pertamanya, sembilan pendatang pernah dikenakan denda tinggi namun banyak daripada denda itu akhirnya dibatalkan atau dikurangkan.

Langkah ini juga menyusul selepas Mahkamah Agung membenarkan pentadbiran Trump menggunakan undang-undang lama dari tahun 1798 untuk mengusir anggota kumpulan samseng dari Venezuela, serta menggantung keputusan seorang hakim persekutuan yang memerintahkan supaya seorang bapa dihantar pulang semula ke AS selepas diusir secara tidak sah.