KOTA KINABALU – Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mencadangkan agar Kerajaan Negeri Sabah mempercepatkan pelaksanaan pemberian Kad Pengenalan Sabah (IC Sabah) kepada rakyat Malaysia yang berasal dari negeri itu. Langkah ini, menurutnya, adalah penyelesaian terbaik terhadap isu dokumentasi meragukan yang melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menerima dokumen melalui saluran tidak sah.

Gambar: theborneopost.com

Beliau menegaskan bahawa tiada keperluan untuk membuang masa berbincang perkara yang sama berulang kali, memandangkan laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu PATI di Sabah telah dibentangkan sejak tahun 2014. Laporan tersebut, katanya, lengkap dengan bukti, kenyataan saksi dan dokumen sahih.

Yong turut mendedahkan terdapat kes di mana individu yang mengaku lahir di luar negara diberi MyKad dengan kod -12-, seolah-olah dilahirkan di Sabah, malah ada yang berjaya menyandang jawatan dalam politik dan GLC negeri. Beliau menegaskan bahawa amalan seperti ini perlu dihentikan segera.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu juga mendedahkan sejarah operasi pembersihan sindiket pengeluaran dokumen palsu yang berlaku sekitar tahun 1995 hingga 1997, termasuk penahanan beberapa individu di bawah Akta ISA ketika itu.

Yong menjelaskan bahawa tiada halangan perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan atau akta-akta berkaitan seperti Akta Pendaftaran Negara dan Akta Imigresen yang menghalang Sabah daripada mengeluarkan kad pengenalan khas, asalkan ia hanya diberikan kepada warganegara Malaysia yang benar-benar berasal dari Sabah dan bukannya kepada warga asing.

Menurut beliau, IC Sabah bukanlah dokumen yang memberi taraf kewarganegaraan, sebaliknya hanya berfungsi untuk mengenal pasti individu yang benar-benar anak jati negeri tersebut. Malah, katanya, rakyat dari negeri lain seperti Semenanjung dan Sarawak yang telah lama menetap di Sabah boleh dipertimbangkan untuk menerima IC tersebut, tertakluk kepada budi bicara kerajaan negeri.

Yong turut menggesa kerajaan negeri agar berhenti sekadar membangkitkan isu lama tanpa tindakan konkrit, sebaliknya perlu mengambil langkah segera menyelesaikan masalah rakyat yang lebih mendesak seperti isu ekonomi dan pembangunan infrastruktur.