Georgetown, 10 April – Seorang anggota polis berpangkat koperal yang mengalami kecederaan parah akibat tertembak diri sendiri di kawasan pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Selasa lalu, disahkan meninggal dunia selepas dua hari dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Mangsa, Koperal A Francis yang berusia 58 tahun dan bertugas di Kem Komandan, Jabatan Pengurusan IPK Pulau Pinang, menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.12 petang di Unit Rawatan Rapi Umum (GICU) hospital berkenaan.

Kredit: PDRM
Mangsa, Koperal A Francis yang berusia 58 tahun dan bertugas di Kem Komandan, Jabatan Pengurusan IPK Pulau Pinang, menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.12 petang di Unit Rawatan Rapi Umum (GICU) hospital berkenaan.
Ketua Polis Negeri, Datuk Hamzah Ahmad turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap agar mereka tabah menghadapi dugaan ini.
“Saya bersama isteri dan seluruh warga PDRM Pulau Pinang mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga mendiang, semoga urusan mereka dipermudahkan,” katanya melalui satu kenyataan di Facebook rasmi PDRM Pulau Pinang.
Sebelum ini, Koperal berkenaan ditemui dalam keadaan cedera parah di kepala pada jam 6.12 petang di bilik pengawal. Beliau dipercayai tertembak dirinya menggunakan sepucuk pistol.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960. Dalam pada itu, Datuk Hamzah menjelaskan bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk mengetatkan kawalan penggunaan senjata api dalam kalangan anggota PDRM meskipun insiden ini berlaku.