Pernah tak waktu tengah memasak, anda perasan warna nyalaan api dapur berubah-ubah? Kadang-kadang biru menyala, kadang pula jadi merah atau jingga. Ramai yang anggap perkara ini remeh, tapi sebenarnya warna api memberi petunjuk penting tentang tahap pembakaran gas dan tahap keselamatan dapur anda.
Api berwarna biru menunjukkan pembakaran berlaku dengan sempurna. Ini bermaksud gas memasak bercampur baik dengan oksigen dan menghasilkan nyalaan yang panas, bersih dan menjimatkan. Selain cepat memanaskan makanan, api biru juga tidak mengotorkan bahagian bawah periuk.

Api berwarna biru menunjukkan pembakaran berlaku dengan sempurna. Jika api bertukar menjadi merah, jingga atau kuning, ini petanda pembakaran tidak lengkap.( Freepik.com)
Sebaliknya, jika api bertukar menjadi merah, jingga atau kuning, ini petanda pembakaran tidak lengkap. Bila ini berlaku, bukan saja gas lebih banyak digunakan (boros), tetapi ia juga boleh menghasilkan gas berbahaya seperti karbon monoksida — sejenis gas yang tidak berbau, tidak berwarna, tetapi sangat merbahaya kepada kesihatan.
Selain membahayakan, api yang tidak sempurna juga menyebabkan dapur lambat panas, makanan jadi lambat masak, dan periuk mudah menjadi hitam. Jika dibiarkan lama, ia boleh menjejaskan fungsi dapur atau lebih teruk lagi — jadi punca kemalangan.
Kenapa api boleh berubah warna? Biasanya kerana lubang pembakar tersumbat oleh habuk, sisa masakan atau karat. Mungkin juga dapur tidak dipasang dengan baik atau jarang dibersihkan. Dalam sesetengah kes, tekanan gas juga terlalu rendah, sama ada silinder gas dah nak habis atau ada masalah pada pengawal tekanan (regulator).
Kalau api dapur anda dah tak biru, apa patut buat? Pertama, pastikan ruang dapur ada pengudaraan baik. Buka tingkap atau pintu untuk aliran udara yang cukup. Kedua, bersihkan lubang pembakar dengan berus kecil, jarum atau kain bersih untuk buang apa-apa sisa yang menyekat gas. Jika masalah masih berlaku, lebih baik dapatkan khidmat juruteknik bertauliah untuk periksa dapur anda.
Kadang-kadang, perkara kecil seperti warna api pun boleh memberi petunjuk besar. Ia bukan saja tentang keselamatan, tapi juga tanda betapa telitinya aturan alam ciptaan Tuhan. Bila kita peka dan ambil tahu, bukan sahaja kita jaga rumah dan keluarga, tapi kita juga memanfaatkan ilmu untuk kehidupan yang lebih selamat dan bijak.