Kuala Lumpur – Keberanian lima warga Pakistan yang bertindak pantas membantu penduduk ketika kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, baru-baru ini telah mendapat pengiktirafan rasmi daripada Kedutaan Pakistan di Malaysia.
Kelima-lima lelaki tersebut – Khaista Nawab (50), Bakht Munir (37), Amir Nawab (47), Rafiq Ullah (25), dan Jaafar Ali (40) – telah diberikan sijil penghargaan oleh wakil Pesuruhjaya Tinggi Pakistan dalam satu majlis yang diadakan di kedutaan negara itu semalam.

Sumber gambar: bernama
Menurut Khaista, tindakan mereka adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan, dan mereka tidak menyangka akan menerima penghormatan sebegitu. “Kami hanya bertindak kerana rasa tanggungjawab sebagai sesama manusia. Bila lihat penduduk panik di seberang sungai, kami tahu kami tak boleh berdiam diri,” katanya.
Kesemua mereka yang berasal dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan, telah menetap dan bekerja di Malaysia antara tujuh hingga dua puluh tahun.
Mengimbas kembali detik mencemaskan itu, Khaista menjelaskan mereka ketika itu berada di rumah berdekatan sungai Klang di Kampung Sri Aman, Puchong kerana bercuti sempena Hari Raya. Kebakaran yang marak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka menarik perhatian mereka, lalu mereka nekad untuk membantu.
Tanpa berlengah, mereka terjun ke sungai untuk menyelamatkan sekitar 30 penduduk, termasuk kanak-kanak dan orang tua, yang terperangkap di seberang sungai di Kampung Tengah. Sungai tersebut sedalam kira-kira 1.8 meter dan selebar lebih 40 meter, namun mereka tetap berenang merentasinya beberapa kali, memikul dan menolak penduduk ke tempat selamat.

Kredit: bernama
“Saya terfikir nak selamatkan diri dan ambil pasport. Tapi kemudian saya sedar, kita tak boleh abaikan orang lain dalam bahaya. Allah akan tanya nanti,” ujar Khaista.
Keberanian mereka bukan sahaja menjadi bualan hangat di Malaysia, malah turut mendapat perhatian masyarakat Pakistan. Farooq Ahmed, pemilik syarikat pakaian Alfaro Sdn Bhd, telah menyumbangkan pakaian dan wang tunai sebagai penghargaan. Malah, Menteri Persekutuan Pakistan, Amir Muqam turut menyampaikan rasa bangga dan terima kasih atas tindakan luar biasa lima individu itu.
Insiden kebakaran yang berlaku pada jam 8.10 pagi, 1 April lalu melibatkan saluran paip gas milik Petronas, dengan api marak setinggi lebih 30 meter dan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Operasi pemadaman mengambil masa hampir lapan jam untuk diselesaikan sepenuhnya.