TAWAU – Kerajaan Sabah menawarkan ganjaran sebanyak RM10,000 kepada sesiapa sahaja yang dapat menyalurkan maklumat berkaitan insiden kejam pembunuhan gajah Pygmy Borneo di kawasan Kalabakan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, ganjaran itu bertujuan menggalakkan orang awam tampil membantu siasatan agar pelaku kejam tersebut dibawa ke muka pengadilan.
“Ini adalah kes ketiga bangkai gajah dijumpai sejak Januari 2025 dan kesemuanya dalam keadaan amat menyedihkan – dipotong kepala dan kaki,” katanya.
Penemuan terbaru berlaku di Ladang Bukit Tukok, Kalabakan — lokasi sama insiden terdahulu.
Christina turut menegaskan pihaknya memandang serius jenayah terhadap haiwan dilindungi seperti gajah Pygmy dan menyeru orang ramai segera melaporkan sebarang maklumat kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah atau pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Maklumat boleh disalurkan ke:
- Jabatan Hidupan Liar Sabah : 088-254767
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) : 089-752222
