KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) kini sah akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, semasa majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya pada malam ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah memaklumkan bahawa keputusan tersebut telah dicapai dalam sesi pemukiman UMNO Sabah pada akhir tahun lalu, dan beberapa perbincangan tidak rasmi dengan pimpinan PH Sabah juga telah diadakan sebelumnya.

Gambar: Berita Harian Online.
Menurutnya, perbincangan rasmi antara kedua-dua pihak akan dijalankan tidak lama lagi memandangkan PRN17 dijangka semakin hampir.
“Sepanjang musim perayaan ini, ramai yang bertanya dengan siapa UMNO Sabah akan bekerjasama. Hari ini saya ingin maklumkan bahawa kami telah membuat keputusan untuk bergabung dengan PH,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut menjelaskan bahawa BN terbuka kepada kerjasama dengan parti-parti lain yang komited dan setia, namun mereka tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan tertentu atas sebab-sebab tertentu.
“Kita tidak menolak kerjasama dengan parti lain, tetapi berdasarkan pengalaman lalu, terdapat isu yang timbul melibatkan parti-parti tempatan. Banyak perkara ini akan kita huraikan semasa kempen pilihan raya nanti,” ujarnya.
Tambahnya lagi, walaupun BN merupakan parti nasional, kepimpinan di Sabah masih diterajui oleh anak jati negeri ini, dan majoriti barisan pemimpin BN Sabah kini terdiri daripada muka-muka baharu, kecuali Datuk Seri Salleh Said Keruak yang masih aktif sebagai Bendahari UMNO Sabah.
“Kami semua bertekad untuk memajukan Sabah dan menyelesaikan isu-isu asas seperti bekalan air, jalan raya, elektrik dan lain-lain demi kepentingan rakyat. Janji kami bukan sekadar retorik kerana kami tahu, jika gagal menunaikannya, rakyat tidak akan segan untuk menolak kami pada pilihan raya seterusnya,” katanya.
Berkenaan pembahagian kerusi, beliau menyatakan bahawa UMNO-BN bercadang untuk mengekalkan 41 kerusi yang ditandingi semasa PRN ke-16 pada tahun 2020. Tambahnya, parti yang mempunyai sokongan kuat akan diberi lebih banyak ruang untuk bertanding.
Sementara itu, Bung Moktar turut mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada PRN akan datang.