RAUB, 13 April – Dalam tempoh kurang tiga jam, Gabungan Save Musang King Alliance (Samka) berjaya mengumpul sekitar 400 tandatangan menerusi satu petisyen yang menggesa supaya tindakan penebangan pokok durian oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dihentikan serta-merta.

Chow Yu Hui, Ahli Parlimen Raub yang juga penasihat Samka, memaklumkan bahawa operasi yang berlangsung sejak tiga hari lalu telah mengakibatkan kemusnahan lebih daripada 1,000 pokok durian Musang King, termasuk pokok-pokok yang telah ditanam lebih 40 tahun lalu.

Gambar: Malaysiakini

“Pokok-pokok ini ditanam hasil usaha gigih pekebun selama bertahun-tahun. Kehilangannya amat dirasai dan memberi kesan besar kepada sumber pendapatan mereka,” katanya.

Petisyen tersebut dirancang untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sebelum ini, kekecohan tercetus apabila pekebun cuba menghalang tindakan penebangan yang berlaku berhampiran Sungai Klau. Mereka mendakwa kerajaan negeri tidak mematuhi arahan mahkamah apabila menebang kira-kira 200 pokok, namun pihak kerajaan Pahang menafikan tuduhan itu, dengan menyatakan bahawa kawasan terbabit merupakan pencerobohan tanah tanpa kebenaran.

Mahkamah Rayuan juga telah menolak permohonan pekebun untuk menangguhkan pengusiran atas alasan teknikal berkaitan prosedur permohonan yang tidak lengkap.

Dalam tuntutannya, Samka menyeru supaya:

  1. Penebangan dihentikan segera;
  2. Dialog diadakan antara pihak berkuasa negeri dan para pekebun;
  3. Proses pengusiran dilakukan secara berperikemanusiaan, adil dan lestari.

Chow turut menambah bahawa isu pengurusan tanah tanpa geran ini bukan hanya berlaku di Raub, tetapi turut melibatkan ribuan pekebun lain di seluruh negara yang masih belum memperoleh status hak milik yang jelas.

“Pekebun sedia bekerjasama, termasuk membayar cukai atau sewa tanah jika diberi lesen sah. Kami berharap kerajaan negeri membuka ruang rundingan demi mencapai penyelesaian yang adil kepada semua pihak,” katanya lagi.