Nama “Khairul Aming” atau lebih dikenali sebagai KA memang tidak asing lagi di kalangan pengguna media sosial tempatan. Dengan puluhan juta pengikut yang tersebar di platform seperti Instagram dan TikTok, setiap perkongsian daripada KA sering menarik perhatian ramai.

Selain terkenal dengan resipi kreatif yang sering dikongsi terutamanya semasa bulan Ramadan, personaliti KA juga telah membuatkan ramai orang terpesona dan mengaguminya. Setiap kali KA mengadakan siaran langsung atau live, bilangan tontonan biasanya akan melonjak dengan cepat, menunjukkan betapa besarnya sokongan dari pengikutnya.

Ramai yang turut memberikan ‘hadiah’ (gift) dalam siaran langsung tersebut sebagai tanda sokongan terhadapnya. Namun, apa yang mengejutkan ramai adalah bahawa meskipun KA menerima pelbagai gift TikTok yang bernilai tinggi, beliau tidak pernah mengambil walau sesen pun daripada jumlah tersebut.

Dalam satu video yang dikongsikan, KA menunjukkan nilai gift yang diterimanya sepanjang aktif bersiaran di TikTok, yang mencecah jumlah sebanyak RM31,931.87. Apa yang lebih mengejutkan, KA mengakui bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan wang tersebut dari akaunnya.

KA turut mendedahkan bahawa beliau tidak tahu bagaimana cara untuk withdraw atau menukar gift tersebut menjadi wang tunai. Sebaliknya, beliau menggunakan gift yang diterimanya untuk membantu mereka yang lebih memerlukan. Setiap kali menerima gift, KA akan mengedarkannya semula kepada pengguna TikTok lain yang dianggap lebih memerlukan bantuan.

Meskipun telah banyak gift yang disedekahkan, KA mengatakan baki dalam akaunnya tidak pernah berkurang, kerana akan sentiasa ada individu lain yang memberi sumbangan semula.