KOTA AMBON – Sebuah kumpulan ajaran menyimpang yang muncul di Dusun Limboro, Kecamatan Huamual, Kabupaten Seram Bagian Barat, Maluku, mencetuskan kontroversi apabila didapati menjual “tiket ke syurga” dengan harga antara 7 juta rupiah (RM1,842) hingga 15 juta rupiah (RM3,949).

Kumpulan ini bukan sahaja menyeleweng dari ajaran Islam, malah menghasut pengikutnya untuk meninggalkan amalan asas seperti solat lima waktu, berpuasa, dan membayar zakat – rukun utama dalam Islam.

Pemimpin ajaran sesat bertemu dengan MUI. Foto: Agensi

Pergerakan tarekat itu akhirnya dilaporkan kepada pihak berkuasa dan menarik perhatian Majelis Ulama Indonesia (MUI).

Setiausaha MUI Seram Bagian Barat, Syuaib Pattimura, memaklumkan bahawa mereka telah bertemu dengan empat pemimpin kumpulan tersebut selepas mereka ditahan polis minggu lalu.

“Mereka menggunakan kitab ciptaan sendiri yang dinamakan ‘perisai diri’, di mana isi kandungannya telah memutarbelitkan surah al-Fatihah, beberapa surah lain serta kalimah syahadah,” jelas Syuaib.

Tambah beliau, pemimpin kumpulan itu juga tidak mampu memberi penjelasan atau dalil yang kukuh mengenai ajaran mereka ketika disoal siasat.

Lebih mengejutkan, kumpulan itu turut menjanjikan tempat di syurga bagi sesiapa yang sanggup membayar bagi pihak kedua-dua ibu bapa mereka.

“Kami telah hentikan segala aktiviti kumpulan ini dan akan bekerjasama dengan MUI Maluku serta Kementerian Agama untuk tindakan lanjut,” katanya.