KUALA LUMPUR – Harga emas terus melonjak apabila emas 999 kini mencecah paras tertinggi untuk tahun 2025 iaitu RM503 segram, berdasarkan kemas kini di laman rasmi Public Gold.

Gambar: hiasan (utusan)

Kenaikan ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM7 berbanding harga semalam yang berada pada RM496 segram. Emas 916 turut menunjukkan peningkatan apabila kini bernilai RM478 bagi setiap gram.

Sebelum ini, nilai emas sudah mula memecahkan rekod terdahulu, susulan kelemahan ketara mata wang dolar Amerika Syarikat (USD), di mana harga emas global kini berada pada paras USD3,245.75 seaun (kira-kira RM14,317).

Sumber: Public Gold

Dalam satu wawancara bersama Financial Times, Presiden Bank Rizab Persekutuan Boston, Susan Collins, menyatakan bahawa pihaknya sedia menggunakan pelbagai pendekatan bagi mengekalkan kestabilan pasaran kewangan jika situasi mendesak.

Menurut Collins, inflasi dijangka melonjak melebihi 3% tahun ini, namun tiada tanda-tanda berlakunya kemelesetan ekonomi yang besar buat masa ini. Dalam masa sama, kadar tukaran mata wang menunjukkan Dolar AS melemah – Dolar-Yen turun ke 142.50 Yen, manakala Euro dan Pound masing-masing meningkat kepada USD1.1396 dan USD1.3118.

Sementara itu, pasaran komoditi turut menyaksikan sedikit penurunan apabila harga minyak mentah WTI jatuh 0.3% kepada USD61.34 setong, dan minyak mentah Brent turut susut kepada USD64.58 setong.

Di pasaran saham, indeks Dow Jones melonjak 1.6% dan ditutup pada 40,212.71 mata, manakala FTSE 100 di London meningkat 0.6% kepada 7,964.18 mata.

Sentimen positif juga melanda pasaran Asia selepas pengumuman daripada bekas Presiden AS, Donald Trump, yang memberikan pengecualian tarif terhadap beberapa barangan elektronik utama seperti telefon pintar, komputer, dan cip semikonduktor.