SANDAKAN: Sebuah kilang bagi pembuatan dan pemasangan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang bakal dibangunkan di Sandakan dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun 2028, menurut Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.

Projek ini melibatkan pelaburan sebanyak RM357.5 juta oleh Maxland Auto Sdn Bhd dan berpotensi menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi di kawasan Sandakan serta wilayah sekitarnya, selain menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang lebih seimbang.
“Ketika ini, projek masih berada pada peringkat awal. Pihak syarikat sedang melengkapkan pelan perniagaan mereka dan konsep rekaan kilang telah pun disiapkan. Aspek utiliti seperti bekalan air dan elektrik kini dalam proses penyelarasan,” katanya.
Datuk Phoong turut memaklumkan bahawa kementerian dan agensi berkaitan akan terus bekerjasama secara aktif dalam memastikan kelancaran dan pelaksanaan pelaburan ini.
Sebagai tanda sokongan awal, beliau bersama wakil agensi terlibat telah mengadakan lawatan ke tapak cadangan pada 15 Februari 2025 bagi meneliti perancangan dan menyelaras langkah pelaksanaan.
“Hasil lawatan tersebut, pembinaan kilang dijangka dimulakan sekitar suku pertama tahun 2027,” jelasnya semasa sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau memberikan respon kepada soalan Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (Tanjong Papat) dan Alias Sani (Sekong). Poon memohon penjelasan mengenai status projek kilang kenderaan elektrik (EV) di Sandakan, termasuk tarikh operasi dan kesan terhadap ekonomi tempatan, manakala Alias bertanya mengenai jangka masa pembinaannya.
Phoong menambah, pelaburan ini dijangka membuka pelbagai peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada penduduk tempatan, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup dan menurunkan kadar pengangguran.
Selain itu, pelaburan tersebut juga mampu mengukuhkan sektor hiliran dengan membuka peluang kepada perniagaan berkaitan seperti perkhidmatan kejuruteraan, logistik serta pembekal alat ganti automotif.
“Industri-industri sokongan berkaitan turut bakal menerima manfaat, seterusnya memperkukuh ekosistem automotif tempatan dan memperluas potensi ekonomi,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa projek ini berpotensi menarik lebih banyak pelaburan berasaskan teknologi hijau pada masa akan datang.
“Inisiatif ini mampu mengangkat imej Sabah sebagai destinasi pelaburan yang mampan dan mesra alam, selaras dengan matlamat negeri dalam membangunkan industri berdaya tahan dan berdaya saing,” ujarnya.
Kementerian bertekad untuk memastikan projek ini berjaya direalisasikan demi mempercepat pertumbuhan sektor perindustrian di Sabah serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.