Johor Bahru – Impian sepasang kekasih untuk mengikat tali pertunangan hujung tahun ini tidak kesampaian apabila gadis yang dirancang untuk menjadi tunang, Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, terkorban dalam satu kemalangan malam tadi.
Mohd Dzulfitri A Halim, 21, yang bekerja sebagai penyelia kilang, meluahkan rasa sedih dan terkejut atas kehilangan insan yang dikenalinya sejak zaman persekolahan.


kemalangan melibatkan motosikal Honda dan sebuah Toyota Estima. Gambar Harian metro.
“Kami mula berkawan sejak saya di Tingkatan Tiga dan dia di Tingkatan Dua. Hubungan kami sudah lama dan kedua-dua keluarga pun dah kenal. Kami dah rancang untuk bertunang hujung bulan ini, tapi semuanya tidak sempat direalisasikan,” katanya sayu.
Menurutnya, Nuraisyah yang menunggang motosikal bersama adiknya, Ammar Saifullah, 15, maut dalam nahas yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau, melibatkan motosikal Honda dan sebuah Toyota Estima.
Dzulfitri memberitahu bahawa Nuraisyah baru sahaja mula bekerja sebagai operator kilang di Desa Cemerlang kira-kira dua minggu lalu sementara menunggu keputusan STPM.

Mangsa yang terlibat.
“Kali terakhir kami berjumpa ialah sehari sebelum kejadian. Esoknya dia mesej beritahu nak beraya di rumah ayahnya di Ulu Tiram. Saya sangka dia naik kereta, rupanya dia naik motor dengan adik. Saya hanya tahu tentang kemalangan itu selepas dimaklumkan oleh rakan,” katanya.
Tambah Dzulfitri, arwah pernah berkongsi cita-cita untuk menyambung pelajaran dan menjadi guru, namun hasrat itu kini tinggal kenangan.
Jenazah dua beradik itu telah selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau sekitar jam 1.20 petang tadi.