KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Sentul pada petang Isnin.

Gambar: Kosmo online
Menurut maklumat daripada penduduk setempat, sebelum insiden berlaku, mangsa dikatakan sedang bermain bersama adik-beradiknya di kawasan lapang berhampiran rumah mereka.
Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di bawah Blok C, sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.

Gambar: Kosmo online
Hasil tinjauan di tempat kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam insiden tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian sekitar jam 2.24 petang. Kes tersebut buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan.