JOHOR BAHRU – Beberapa klip video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki muda menjadi mangsa belasahan sekumpulan individu dalam satu kejadian yang dikatakan berlaku di kawasan Pasir Gudang.

Rakaman berdurasi satu hingga dua minit itu memaparkan mangsa dalam keadaan lemah tanpa melawan, dipukul berulang kali oleh antara lima hingga tujuh orang lelaki.

Kumpulan tersebut dilihat menggunakan tangan dan kaki serta menumbuk mangsa di bahagian muka, dada, dan anggota badan lain. Salah satu video yang lebih menyayat hati menunjukkan mangsa turut dipukul serta disepak di bahagian alat sulit.

Mangsa kelihatan menahan kesakitan dan cuba meronta, dengan hidungnya kelihatan berdarah akibat serangan tersebut.

Perbuatan ganas itu menerima kecaman hebat daripada pengguna media sosial yang mendesak agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera bertindak terhadap individu yang terlibat dan tidak bertanggungjawab itu.

Laporan polis yang dibuat mangsa.

Sumber memaklumkan, kejadian dipercayai berpunca daripada pertelingkahan antara mangsa dan seorang wanita. Difahamkan wanita berkenaan telah memanggil kenalannya untuk menyerang mangsa.

Melalui komen yang tersebar di platform sosial, wanita tersebut disyaki individu yang merakam insiden tersebut sebelum ia dikongsikan dan menjadi tular.