Sabak Bernam – Sebuah taska di Tali Air 11, Pasir Panjang digemparkan dengan insiden samun membabitkan tiga lelaki bersenjatakan parang yang turut bertindak ganas dengan menampar seorang guru wanita dalam kejadian yang berlaku pagi Isnin.

Gambar: Sinar Harian
Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 9.35 pagi ketika dua guru wanita dan seorang pembantu dapur berada di premis berkenaan sambil menunggu ketibaan kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada salah seorang guru yang mendakwa disamun oleh tiga lelaki tempatan yang menaiki sebuah kereta Perodua Bezza.
“Ketiga-tiga suspek bersenjatakan parang masuk ke dalam taska dan melarikan dua utas rantai emas serta sebuah telefon bimbit milik guru terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau lagi, seorang daripada suspek bertindak kasar apabila menampar guru wanita itu dua kali di pipi kiri dan kanan.
Siasatan awal mendapati ketika kejadian, terdapat dua orang guru, seorang pembantu dapur serta 10 kanak-kanak di dalam taska tersebut.
“Walaupun tiada kanak-kanak cedera, dua guru terbabit mengalami kerugian apabila barang kemas dan telefon bimbit jenama Realme mereka telah dilarikan,” ujarnya.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta boleh dikenakan denda dan sebatan jika disabit kesalahan.