JOHOR BAHRU, 23 April – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia, manakala kedua ibu bapanya mengalami kecederaan selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Adda Lima, Taman Adda Height, sekitar jam 12.40 tengah malam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffei, insiden berlaku sewaktu keluarga itu sedang dalam perjalanan dari Taman Mount Austin ke Taman Adda Height.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh sebatang pokok,” katanya.
Sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
Ibu mangsa yang berusia 23 tahun mengalami kecederaan serius pada kedua-dua pahanya dan kini menerima rawatan di zon merah, Hospital Sultan Ismail. Bapa mangsa pula, berumur 24 tahun, cedera di kaki kanan dan sedang dirawat di zon kuning hospital sama.