PASIR GUDANG – Seorang nelayan ditemui tidak bernyawa selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika sedang menjaring udang berhampiran perairan Johor Port pada Isnin lalu.
Mangsa, Mohammad Ronney Teo Abdullah, berusia 49 tahun, dijumpai pada jam 1.45 tengah hari Selasa selepas pasukan penyelamat melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mohammad Ronney Teo Abdullah, berusia 49 tahun, dijumpai pada jam 1.45 tengah hari Selasa selepas pasukan penyelamat melancarkan operasi.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Hazrul Rahmad, panggilan kecemasan diterima pada jam 1.10 tengah hari Isnin, memaklumkan kejadian terbabit.
Sebanyak 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Skudai, Johor Jaya dan Larkin telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi SAR.
“Sebaik tiba, pasukan menyelam memulakan pencarian di sekitar sempadan perairan Malaysia dan Singapura berdasarkan maklumat daripada abang mangsa.
“Tiga penyelam telah menyelam sehingga kedalaman 20 meter, namun operasi terpaksa dihentikan pada jam 6.50 petang berikutan cuaca mulai gelap dan trafik kapal yang padat di kawasan berdekatan pelabuhan,” katanya menerusi kenyataan, Rabu.

Gambar: APM Johor.
Tambah beliau, mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan terjatuh, seperti dimaklumkan oleh abangnya.
Operasi SAR kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.40 petang, dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Usaha pencarian ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan polis dan bomba dari Johor Port.